CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Waktu solat

Sunday, November 15, 2009

Kisah Benar Gadis Terlampau!!

assalamu'alaikum shbt2...

dah lama sgt dh tak menconteng dalam blog ni..:-( ni ada kesempatan curi masa waktu anak2 dh tdo.. 2pn nk share something yang di copy dari blog sahabat.. moga ada yang kita sama2 boleh ambil iktibar..

Menurut majalah MANAR ISLAM, pada suatu hari, seorang gadis yang terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini untuk menuju ke destinasi di wilayah Iskandariah. Malangnya walau pun tinggal dibumi yang terkenal dengan tradisi keislaman, pakaian gadis tersebut sangat menjolok mata.

Bajunya agak nipis dan seksi hampir terlihat segala yang patut disembunyikan bagi seorang perempuan dari pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.Gadis itu dalam lingkungan 20 tahun. Di dalam bas itu ada seorang tua yang dipenuhi uban menegurnya. ‘Wahai pemudi! Alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik, yang sesuai dengan ketimuran dan adat serta agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki……’ nasihat orang tua itu.

Namun, nasihat yang sangat bertetapan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan mengejek. ‘Siapalah kamu hai orang tua? Apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? Atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?’ Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu gadis itu tertawa mengejek panjang. Tidak cukup setakat itu, si gadis lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata kata yang lebih dahsyat. ‘Ambil hanphone ku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahannam untukku,’ katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawasanya dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab.

Orang tua tersebut sangat terkejut mendengar jawapan dari si gadis manis. Sayang wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam ada yang menggelengkan kepala kebingungan. Semua yang di dalam bas tidak menghiraukan gadis yang masih muda i tu yang tidak menghormati hukum hakam itu dan mereka tidak mahu menasihatinya kerana khuatir dia akan akan menghina agama dengan lebih teruk lagi. Sepuluh minit kemudian bas pun tiba di perhentian.

Gadis seksi bermulut celupar tersebut di dapati tertidur di muka pintu bas. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tidak sedarkan diri… Tiba tiba orang tua tadi memeriksa nadi si gadis… Sedetik kemudian dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu telah kembali menemui Tuhannya dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Para penumpang menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu.

Dalam suasana kelam kabut itu, tiba tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah-olah dibakar api. Dua tiga orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh si mayat.
Akhirnya mereka memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu. Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Nauzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan ikhtibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai muslim sejati. Jangan sekali sekali kita mempertikaikan hukum Allah dan mahupun sunnah RasulNya saw dengan mempersendakan atau ejekan.

Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata-kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam. Ingatlah teman, kita boleh melupakan kematian, tetapi kematian tetap akan terjadi bagi kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh.. Janganlah menjadi orang yang bodoh, siapakah orang yang bodoh itu? Mereka itulah orang yang ingin melawan Tuhan Rabbul alamin. Apabila anda enggan melaksanakan suruhan Tuhan bererti anda ingin melawan arahan Tuhan. Sewaktu di sekolah anda tertakluk dengan undang-undang sekolah, dalam pekerjaan anda tertakluk dengan undang-undang yang di lakar oleh majikan anda, di dalam negeri anda tertakluk di bawah undang-undang negara anda. Begitu taksub sekali anda terhadap undang-undang itu hingga terlalu prihatin takut kalau melanggar undang-undang itu. Apabila anda berpijak di bumi ini, anda juga tertakluk dengan undang-undang yang telah di gubal oleh yang menjadikan bumi ini.

Setiap Sultan ada taman larangannya, begitu juga Allah swt. Taman laranganNya adalah perkara-perkara yang telah diharamkan bagi hamba-hambaNya di muka bumi ini. Sama-samalah kita memohon agar Allah swt sentiasa memberi kita petunjuk di atas jalan yang benar dan kekuatan agar sentiasa dapat menjaga lidah kita.

http://muhasabahhatiku.blogspot.com/

Wednesday, August 26, 2009

Ramadhan Al- Mubarak


cid:_1_05FB89E405FB850800297D7E48257610

ANDAI INI RAMADHAN YANG TERAKHIR

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangnya engkau sibuk berzikir
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu. ..kepada- NYA Tuhan yang satu
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu
sholat yang dikerjakan.. .sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih.. .berqiamullail. ..bertahajjud. ..
mengadu...merintih. ..meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman


Duhai Ilahi....
andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling berarti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati kami
menyeru ke jalan menuju ridho serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti


Namun teman...
tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia ...meminta belas-NYA

cid:_2_05FB9DFC05FB9AB400297D7E48257610


wahai tuhan ku tak layak kesyurgamu ... namun tak pula aku sanggup ke Nerakamu ... kami lah hamba yang mengharap belas darimu "ya allah jadikan lah kami hamba2 mu yang bertaqwa..ampunkan dosa2 kami kedua ibubapa kami .dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia" Amin.....

andai benar ini Ramadhan terakhir buat diri saya
MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH SAYA LAKUKAN

&

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al- Mubarak.

~ JAMALUDDIN LANTARA, UMEE SUZIANA ABD GHANI

AIMAN HAKIM, ALYA SYAHIRAH, NAJWA, NASRULLAH~

Thursday, July 30, 2009

Selamat Datang Sayang....







alhamdulillah... saya telah selamat melahirkan bakal mujahid(I.allah) pada 19 Julai 2009 jam 12.18pagi di hosp umum Kuching... dengan berat 3.685kg.. xdpt nk bercerita panjang tentang pengalaman..nnt le ye.. :-)

Friday, May 22, 2009

Kisah Sebenar Orang Berhutang
www.iluvislam. com
dihantar oleh: zauj_nisahumaira885 6
Editor: ar-ruhul JADEED

"Kamarul, esok result keluar." Suara Imran kedengaran di hujung corong telefon. "Kalau ada yang sangkut, habislah aku, extend 6 bulan lagilah." Nafas Kamarul seakan tersekat-tersekat apabila mendengar kata-kata Imran tadi. Kamarul berdebar-debar, dia sudah tidak sanggup lagi burning the midnight oil. Apabila keputusan keluar pada keesokan harinya, ia benar-benar bermakna bagi Kamarul.

"Alhamdulillah, aku lulus." Bagaikan arus sejuk singgah di kepalanya, dengan kelulusan itu Kamarul dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian. Sejak hari itu, berpuluh-puluh permohonan kerja resume dihantar ke syarikat-syarikat besar. Akhirnya dia mendapat kerja di syarikat di Petaling Jaya, sebagai eksekutif dengan gaji RM1,500. Disebabkan tiada pengangkutan awam ke tempat kerja dari rumahnya, Kamarul membuat keputusan membeli sebuah motosikal yang berharga RM 3,500. Dia kekurangan wang lalu ingin meminjam daripada ibunya sebagai wang pendahuluan dan membayar bakinya dengan ansuran bulanan sebanyak RM200 selama 3 tahun. Ibunya memberikan RM3,500 kepadanya supaya membeli motor itu secara tunai. Apabila ada masa terluang pada hujung minggu, Kamarul pergi ke pusat membeli-belah bagi bermain boling dan menonton filem.

Pada suatu hari dia diperkenalkan dengan kad kredit, selepas diberitahu dia tidak perlu membayar satu sen pun bagi memilikinya. Tanpa berlengah-lengah lagi, Kamarul pun bersetuju. "Encik boleh faks satu salinan borang EA (borang pendapatan). " Lebih kurang dua minggu kemudian, kad kredit itu sampai dan dia pergi ke bank bagi mendapatkan nombor PIN kad itu. Sejak hari itu, kad itu tersimpan kemas tidak terusik di dalam dompetnya. Kini hampir setahun ia tersimpan di dalam dompet tanpa menggunakannya. Genap setahun bekerja di Syarikat ABC, Kamarul membeli sebuah kereta. Dia sudah tidak tahan dengan kepanasan cuaca dan terpaksa berteduh di bawah jambatan setiap kali hujan lebat. Harga kereta : RM 53,000 Wang Pendahuluan: RM 1,500 Tempoh : 9 Tahun (108 bulan) Ansuran : RM 624 Sejak memandu kereta, Kamarul mula menggunakan kad kredit bagi mengisi minyak keretanya. Sekiranya dahulu, dia membayar tunai kerana RM5 cukup bagi satu tangki minyak motornya, tetapi sekarang RM50 pun belum penuh satu tangki keretanya. Kamarul membayar minyak petrol keretanya menggunakan kad kredit dan menjelaskan bilnya apabila mendapat gaji pada hujung bulan. Pernah sekali kad kreditnya tidak dapat digunakan. Selepas kejadian itu, dia memohon satu lagi kad kredit dari bank yang lain. Sekiranya salah satu kad kreditnya rosak ataupun tidak diterima, dia masih ada satu lagi kad kredit yang dapat digunakan.

Seperti biasa, setiap tahun, gajinya akan naik di antara 5 - 9%. Kini gajinya RM 2,750. "Alhamdulillah dengan umur 26 tahun, aku sudah mendapat gaji sebesar ini." Hatinya benar-benar puas. Jodoh, rezeki, ajal dan maut di tangan Tuhan. Apabila sampai waktunya, semua remaja akan bersatu termasuklah Kamarul. Dia bertunang dengan Balqis dengan menetapkan hantaran kahwin sebanyak RM6,666. Semasa dalam pertunangan, Kamarul membuat satu pinjaman peribadi bagi urusan perkahwinannya. "Alhamdulillah, pinjaman aku lulus." Kamarul merasa gembira pinjaman peribadi sebanyak RM 15,000 dari sebuah bank tempatan diluluskan. Dia memerlukan duit yang banyak bagi menampung kos hantaran dan majlis perkahwinannya yang akan diadakan secara sederhana. Selepas berkahwin dengan Balqis, Kamarul membawa isterinya ke Kuala Lumpur dan mereka menyewa rumah teres setingkat dengan kadar sewa sebanyak RM 600 sebulan.


Seperti kebiasaan pada setiap pasangan baru berkahwin, terdapat banyak kekurangan yang perlu disediakan bagi keselesaan hidup berdua. Semasa bujang dia banyak menggunakan televisyen, mesin basuh dan peralatan lain yang dimiliki oleh rakan-rakan serumah. Selain daripada keretanya, harta bujangnya adalah sebuah radio. Rumah Kamarul sunyi sepi, sekiranya dahulu balik dari tempat kerja, dia dapat menonton televisyen. Tetapi kini, selepas sembahyang Isyak, mereka terus masuk tidur. Tidak sampai seminggu, dia pulang dengan sebuah TV berjenama 29 inci. Hatinya puas apabila melihat senyuman Balqis yang sedang menonton drama kegemarannya itu. Setiap hari dia terpaksa membeli lauk dan sayur-sayur kerana dia tidak mempunyai peti sejuk bagi menyimpannya. Akhirnya dia membeli sebuah peti sejuk yang besar dan selesailah sudah satu lagi masalahnya. Semasa bujang, dia menghantar pakaiannya ke kedai dobi, kini pakaiannya dibasuh di lantai bilik air yang sempit. Tidak tahan dengan keadaan itu, dia membawa pulang sebuah mesin basuh automatik yang dapat memuat muatan sehingga 7 kilogram. "Sayang, comforter pun kita boleh basuh dengan mesin ini, tidak payah lagi hendak hantar kedai dobi." Kamarul memberitahu isteri kesayangannya. "Mana abang dapat duit beli semua ini? Abang dapat bonus, ya?" tanya si isteri. Kamarul menjawab sambil tersenyum, "Alah, abang ambil di Court, bayar ansur-ansur. " "Kalau macam itu, boleh tak abang ambil microwave satu, senang lauk sejuk boleh kita panas, tahan lama sikit, tak payah buang." Balqis meminta. "Yelah sayang, nanti hujung minggu ini kita pergi ambil." Setiap kali ada jualan murah, Kamarul mengambil kesempatan membeli barangan dengan harga yang murah.

Kamarul sudah tidak lagi membayar semua perbelanjaannya melalui hutang kad kredit. Dia hanya membuat bayaran minimum kad kredit setiap kali menerima gaji. Pada masa ini dia sudah mulai mempunyai hutang kad kredit. Semasa di tempat kerja, seorang rakan menegur, "Kamarul, engkau sudah buka e-mel?", tanya si Man. "Kenapa Man? Boss declare bonus ke ?". Biji mata Kamarul hampir terkeluar apabila membaca e-mel daripada pihak pengurusan yang tertera 2.5. Dalam hatinya. "Ni bukan 1 bulan tapi 2.5 bulan." Muka Kamarul berubah berseri-seri . "Wow, banyak ni, orang kaya barulah kita." Sejak duit bonus sudah masuk ke dalam akaun semalam, Kamarul tidak dapat duduk diam. Dia asyik terkenangkan duit bonus itu. Akhirnya dia menjual keretanya dan membeli kereta 1.6 Automatik. Seperti biasa, bayar duit pendahuluan serendah yang mungkin dan memanjangkan tempoh pembayaran sehingga maksimum. Enam bulan selepas berkahwin, Kamarul membawa isterinya ke klinik pakar. Betapa gembiranya apabila doktor memberitahu isterinya mengandung. Setiap bulan Kamarul membawanya ke klinik pakar bagi memastikan kesihatan kandungan isterinya. Klinik ini menerima pembayaran melalui kad kredit.

Apabila sampai waktu bersalin, Kamarul memilih hospital swasta demi keselesaan isteri tercinta melahirkan zuriatnya yang pertama. Dia mengambil pakej tiga hari dua malam yang berharga RM 2,500 bagi bersalin secara normal. Akhirnya isterinya melahirkan anak lelaki yang comel seberat 3.2 kilogram melalui pembedahan Caesaran. Kamarul menggunakan salah satu kad kreditnya bagi membayar kos hospital yang berjumlah RM4,863.50. Daripada lampin sehinggalah ke susu, semuanya berjenama dan berkualiti demi puteranya pewaris keturunan. Kamarul berjaya mendapat kerja sebagai penolong pengurus di sebuah syarikat gergasi dengan gaji permulaan RM3,900.

Bagi meraikannya, dia membawa isteri dan anaknya makan besar di sebuah restoran makanan Jepun. Pembayaran dibuat dengan menggunakan kad kredit berjumlah RM 258.70. Sudah tujuh tahun dia tinggal di rumah sewa dengan isteri dan anaknya. Sudah tiga kali dia berpindah, dari rumah teres setingkat tiga bilik sehinggalah rumah teres dua tingkat empat bilik. Daripada sewa RM 600 sehinggalah kini dia membayar RM1,000 sebulan. Terdetik juga di hatinya, "Sampai bila aku nak hidup dengan menyewa?" Dia pergi ke bank menanyakan jumlah pembiayaan bagi sebuah rumah teres satu tingkat yang berharga RM 130,000. Alangkah terkejutnya apabila mendapati dia layak membuat pinjaman membeli rumah yang cantik, besar dan mahal. Apa lagi, dia pun membeli sebuah rumah teres dua tingkat berharga RM 176,000 dengan ansuran sebanyak RM1,233 selama 30 tahun. Semasa rumah sedang dalam pembinaan, dia membayar RM 700 sebulan bagi faedah selama dua tahun. Akhirnya seperti yang dipersetujui dalam perjanjian, pihak pemaju perumahan menyerahkan anak kunci rumah idamannya tiga bulan lebih awal daripada yang termaktub dalam perjanjian jual beli. Banyak juga barang yang tidak dibawa bersama ke rumah baru ini. Peti sejuk, mesin basuh dam sofa yang sudah usang tidak terkecuali disenaraikan dalam barangan yang akan dibuang. Kamarul dan Balqis ingin memastikan mereka sekeluarga berpindah ke rumah baru dengan gembira dan selesa. Apa tidaknya, daripada sofa sehinggalah katil anak-anaknya, semuanya baru. Dengan 'Skim Bayaran Mudah', Kamarul dapat mengambil barangan bernilai hampir RM 15,000 dan hanya perlu membayar RM 419 setiap bulan secara ansuran selama 5 tahun. Harga barang asyik meningkat, belum cukup bulan duit sudah habis.

Bermula pada saat itu, Kamarul mula berjinak-jinak dengan kad kredit. Sekiranya dahulu kad kredit digunakan bagi membayar petrol kereta, kini bayaran servis kereta, bil telefon, bil elektrik sehinggalah barangan dapur semuanya dibayar dengan kad kredit. Setiap kali mendapat gaji, Kamarul memastikan pembayaran minimum dibuat bagi setiap kad kredit yang dimilikinya. Kamarul dan Balqis sangat gembira semasa menyambut kelahiran anaknya yang keempat. Akhirnya Kamarul menukar lagi keretanya dengan membeli sebuah MPV yang berharga RM 100,000 lebih. Memang cantik, besar, selesa, dan kuasa enjinnya pula adalah 2.5cc. Dia menggunakan duit lebihan dari kereta 1.6 Automatiknya yang dijual. Ansuran bulanan hanyalah RM1,271 bagi tempoh 9 tahun. Lagipun dia baru menerima kenaikan gaji sebanyak 5% (gaji baru RM4090).

Pada suatu hari, berita memaparkan kenaikan minyak sebanyak 30 sen seliter bagi petrol. Perbelanjaan petrolnya sudah meningkat tetapi tidak dirasainya kerana pembayaran dibuat menggunakan kad kredit. Sehingga kini, dia masih tidak tahu berapa jumlah yang dibelanjakannya bagi minyak keretanya setiap sebulan. Dari hari ke hari, hutang Kamarul semakin meningkat disebabkan semua perbelanjaan dicajkan kepada kad kredit. Dia pula hanya membayar dengan bayaran minimum dan juga dikenakan dengan kadar faedah yang tinggi. Hutang semakin bertambah dan kini sudah setinggi gunung. Dia sudah tidak mampu mengira jumlah hutang sekarang. Lalu datanglah idea memotong separuh daripada hutangnya. Pinjaman perumahan yang sudah tinggal RM 90,000 dibiayai semula. Harga pasaran rumah itu pada masa ini adalah RM 280,0000. Dia mengambil pinjaman sebanyak RM 240,000 dan menyelesaikan pinjaman perumahan di bank lama sebanyak RM 90,000. Baki RM130,000 digunakan membayar hutang kad kredit, skim bayaran mudah, pinjaman peribadi dan kereta. Duit selebihnya digunakan bagi mengubahsuai rumahnya. Dia menyangkakan membuat keputusan yang bijak. "Aku sudah membuat keputusan yang bijak, semua hutang aku bayar. Cuma hutang rumah bertambah sikit, ansuran tinggi sikit, tempoh ansuran bertambah sikit dan kadar faedah (keuntungan) yang dikenakan sikit sekiranya dibandingkan dengan dahulu, semuanya sikit-sikit sahaja." Kamarul mengelamun seketika sambil menghirup kopi panas di kawasan beranda rumah yang sudah diubahsuai. Jangan lupa sikit-sikit lama-lama jadi bukit.... Kamarul terjebak semula dengan hutang kad kredit. Dahulu dia merasakan dialah pengguna yang bijak, rupa-rupanya pengguna yang sudah dipijak.



Kini hampir setiap hari dia diganggu oleh panggilan daripada bank yang memintanya membayar ansuran yang tertunggak. Bagaimana dia hendak bayar, sekiranya hutang bagi satu kad kredit sudah mencapai beribu-ribu ringgit. Dia pula memiliki enam kad kredit. Belum lagi dicampur dengan hutang sofa, katil dan lain-lain yang diambil dengan skim bayaran mudah. Ia sudah pun tertunggak selama dua bulan. Pulang dari kerja, dia dikejutkan lagi dengan surat-surat hutang. Kandungan surat itu memintanya menjelaskan hutang dalam masa 14 hari ataupun mereka akan mengambil tindakan saman. Segala simpanannya dikeluarkan bagi mengelakkannya menerima surat saman. Ada kalanya dia terpaksa menangguhkan bayaran ansuran rumah supaya dapat menjelaskan ansuran kad kredit yang sudah tiga bulan tertunggak. "Abang, susu Aiman sudah habis." Balqis berkata pada suatu hari semasa Kamarul pulang dari pejabat. "Kenapa Balqis tidak beritahu awal bulan, sekarang mana abang ada duit!" Dalam poket seluarnya hanya ada RM3, dalam bank RM 16.42. Dia terpaksa mendapatkan bekalan susu di pasar raya yang menerima pembayaran melalui kad kredit. "Ah, lega... kad kredit diterima" katanya sambil matanya tertumpu pada mesin pembaca kad kredit. Sampai sahaja di rumah telefon bimbitnya berbunyi. Balqis bingung mengapa Kamarul tidak menjawab panggilan itu. "Abang, telefon tu, kenapa tidak angkat?" tegur Balqis. "Biarlah, orang yang menguruskan kad kredit tu. Sudah pukul 7 malam pun masih nak bekerja, susahlah kalau macam ini." "Sudahlah sehari suntuk bank menelefon bertanyakan ansuran kereta yang dua bulan tertunggak. Bukan aku tidak mahu bayar, tetapi duit bulan ini sudah habis, tunggulah bulan depan," hatinya berbicara. "Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

" Begitulah nasib Kamarul. Sehingga kini, sudah tiga kali dia naik turun mahkamah. Hutang kad kreditnya sahaja sudah mencapai berpuluh-puluh ribu ringgit, tetapi gajinya masih di takuk lama. Kini hanya tinggal satu kad kredit sahaja yang dapat digunakan. Semua keperluannya terpaksa dibayar melalui kad kredit. Faedah yang perlu ditanggung lebih daripada RM500 sebulan itu belum dicampur pokok yang perlu dibayar. Dia merasa takut apabila dilanda musibah kerana tidak mempunyai duit simpanan. Apabila keretanya rosak, dia tidak dapat menggunakan kad kredit kerana semua kad kreditnya sudah hampir mencapai had maksimum. Dia terpaksa menangguhkan pembayaran ansuran rumah dan kereta dan menggunakan duit gaji itu bagi membaiki keretanya. Kemalangan, kena saman, kereta rosak, anak masuk wad, ahli keluarga sakit dan insurans kereta tamat adalah perkara-perkara yang mampu membuatkan dirinya tertekan. Kini, satu-satunya kenderaannya baru sahaja ditarik. Bagi mengurangkan kos, dia menghantar anak dan isterinya balik ke kampung buat sementara waktu. Sebenarnya dia tidak sanggup berpisah dengan mereka tetapi dia terpaksa. Dia sudah mendapat notis dari bank bagi mengosongkan rumah kerana ia akan dilelong.

Di kala Kamarul memerlukan sokongan daripada orang yang tersayang, dia diuji lagi dengan ujian yang besar. Isterinya memohon cerai kerana tidak tahan dengan keadaan hidup mereka yang semakin susah. Dia sudah tidak mampu memberi keperluan zahir kerana duit gajinya terpaksa digunakan membayar hutang-hutang itu. Dipendekkan cerita, pada 23 Ogos yang lepas, dia diisytiharkan muflis. Dia berasa sangat malu melihat namanya terpampang di dada akhbar-akbar tempatan. DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA DALAM KEBANKRAPAN NO:XX-XXXX-XXXX BER: SI POLAN BIN SI POLAN (NO. K/P:XXXXXX-XX- XXXX) ....Penghutang EX-PARTE: XYZ BANK BERHAD ........... ............ ......... ......... ......... ........ ............ ......... ......... ......... .......

Habis semua harta Kamarul dilelong bagi membayar balik segala hutangnya. Selepas rumah dan keretanya dijual, dia masih berhutang sebanyak RM 45,000. Kamarul berasa sangat tertekan. Dia merintih, "Mana aku hendak letak lagi muka aku ini, nama aku sudah tidak ada nilai lagi. Sekiranya dahulu dunia ini satu pinjaman, maka aku pinjamlah. Tetapi, kini aku sudah tidak ada apa-apa lagi. Hidup aku porak-peranda kerana hutang. Oh, malangnya nasibku, seorang yang mempunyai ijazah tetapi akhirnya kecundang. Tetapi kenapa yang banyak kecundang adalah orang yang berpendidikan tinggi seperti aku ? Harga diri aku sudah tergadai." "Wahai cucuku, setiap yang lahir ke dunia ini dimuliakan oleh Tuhan dengan maruah. Tetapi yang menjatuhkan dan menggadaikannya adalah kita. Tuhan tidak pernah ingin perkara yang tidak baik kepada kita, hanya kita yang menghancurkan diri kita. Bertaubatlah, sesungguhnya Tuhan itu maha pemurah dan pengampun." Suara seorang tua berpakaian serba putih yang muncul dalam mimpi semalam masih terngiang-ngiang di corong telinga Kamarul. Ketika ini terdengar di corong telinga Kamarul. "Roh seorang Muslim..." "Ya Allah, janganlah ambil nyawaku pada masa ini. Aku benar-benar takut sekiranya Tuhan mengambil nyawa aku pada masa ini kerana aku mungkin menjadi muflis di dunia dan akhirat."


Hidup aku Porak Peranda Keranamu Hutang Sinopsis Kewangan Kamarul ( Melalui 4 Fasa):

Fasa 1
Kais sebulan makan sebulan setengah. Sekiranya dahulu, pendapatan dan perbelanjaan Kamarul dapat diibaratkan 'Kais bulan makan sebulan setengah'. Tetapi selepas setahun di alam pekerjaan, Kamarul mengorak langkah dengan meningkatkan satu demi satu perbelanjaan tetap seperti ansuran kereta. Pada masa ini, Kamarul dapat menyimpan sebahagian daripada duit gajinya setiap bulan. Dia tiada hutang lain kecuali keretanya.

Fasa 2
Kais bulan makan bulan. Selepas dua tahun, akhirnya Kamarul diibaratkan 'kais bulan makan sebulan'. Gaji bulanannya hanya cukup membayar perbelanjaan bulanan dan perbelanjaan melalui kad kredit yang semakin bertambah. Pada masa ini Kamarul tidak mampu lagi menyimpan kerana duit gajinya yang diperuntukkan bagi menyimpan telah dikikis oleh hutang kad kredit. Dia membayar balik segala perbelanjaan yang dibeli melalui kad kredit pada setiap bulan. Hutangnya pada masa ini adalah kereta dan rumah.

Fasa 3
Kais bulan makan setengah bulan. Tanpa menyedari hakikat yang satu malapetaka yang teramat besar akan menimpanya tidak lama lagi, dia masih berbelanja tanpa membuat sebarang perancangan. Pada masa ini pendapatan bulanannya hanya mampu menanggung kos perbelanjaannya bagi setengah bulan manakala baki separuh lagi gajinya digunakan bagi membayar ansuran hutang. Dalam masa yang sama, dia terpaksa berhutang bagi separuh daripada keperluan yang tidak mampu dibayarnya dengan tunai. Akibatnya hutang kad kreditnya bertambah dari hari ke hari. Sekiranya dia memilih melambatkan pembayaran hutangnya, surat saman akan sampai kurang daripada tujuh hari. Ini kerana hampir semua ansuran hutangnya tertunggak 2 bulan.

Fasa 4
Kais bulan boleh makan seminggu. Sekarang Kamarul benar-benar di persimpangan, ¾ daripada gajinya digunakan bagi membayar ansuran minimum ataupun yang sudah tertunggak 3 bulan. Hanya tinggal suku daripada gajinya bagi makan, minum, pakai dan memenuhi keperluan asas yang lain. Gaji masuk setiap 28 haribulan. Pada 29 haribulan, duit dalam akaun sudah tinggal RM 78.42. Pada masa ini, Kamarul diwartakan sebagai muflis. Bukan kebaikannya yang dipamerkan di dada-dada akhbar tetapi hutang piutang yang tidak mampu dibayarnya.

Thursday, April 2, 2009

TIPS BERURUSAN DENGAN LELAKI!!

Assalamu'alaikum...... ni email dari sahabat, xtau sumber dari mana tapi yang penting sangat berguna dan bermanfaat untuk di kongsi bersama..terutamanya bagi yang biasa berurusan dengan insan yang berlainan jantina..contoh macam saya ler..terlibat dengan bisnes tapi alhamdulillah jual t-shirt labuh..kebiasaannya berurusan dengan muslimat.. :-)
moga kita sentiasa dipelihara olehNya...

TIPS BERURUSAN DENGAN LELAKI




Berikut adalah 5 tips bagaimana berurusan dengan lelaki ajnabi. Tips-tips ini telah dikongsi oleh seorang sahabat yang amat disegani oleh kaum lelaki dan kaum wanita. Semoga dengan mengamalkan perbatasan hubungan ini, akan lebih mensucikan hati kita dan hati mereka. Sama-samalah kita menjaga hati...

1. Elakkan berurusan dengan lelaki - Selagi masih boleh dan berpeluang untuk minta tolong daripada perempuan. Kecuali dalam hal seperti dalam hal repair kereta, repair laptop dan lain-lain. Disebabkan limitation kemampuan wanita dalam hal tersebut, maka terpaksalah juga akhirnya minta bantuan daripada orang lelaki.

2. Kalau terpaksa berkomunikasi dengan orang lelaki, gunakanlah medium perantaraan dalam bentuk tulisan seperti SMS, e-mail atau nota kecil. Gunakan perkataan-perkataan formal,bukan bahasa pasar. Contoh :maaf(bukan sorrie..), terima kasih(bukan time kacih..). Lagi satu, tak payahlah buat smiley face ke =),gelak ke (hihihi..), dan lain-lain yang kurang berfaedah.

Elakkan bercakap melalui telefon kalau belum betul-betul desperate. Ini kerana suara wanita amat lunak dan boleh menggetarkan jiwa insan yang bernama lelaki. Buktinya sampai ALLAH sound kepada wanita supaya keraskan suara! Rujuk Quran,Surah Al-Ahzab, ayat 32 :"Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah-lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik." Kalau rasa ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri nabi sahaja, sepatutnya kita juga menyahut seruan tersebut untuk mencapai darjat yang sama seperti mereka-darjat wanita bertaqwa dan darjat wanita-wanita yang terpilih. Best kan ???

3. Tundukkan hati. Apabila terpaksa berurusan dengan lelaki, kita sepatutnya merasa bulu roma kita meremang-kerana takut pada ALLAH! Kita sangat takut sekiranya disebabkan kita, lelaki tersebut tertarik kepada kita. Sewaktu berhadapan dengan lelaki-lelaki tersebut, banyakkan beristighfar dan berdoa “ YA ALLAH, janganlah KAU jadikan lelaki ini tertarik kepadaku. Jauhkan pandangannya daripada panahan-panahan syaitan.”

4. Tundukkan pandangan. Jangan tertipu dengan subjek communication skills yang pernah kita belajar, "make eye contact with the person you’re talking to..". Ianya applicable kalau kita bercakap dengan sesama jantina sahaja. Kalau ada eye contact dengan orang yang berlainan jantina, kita akan mendapati teori “dari mata turun ke hati” itu benar-benar bisa berlaku.

Para sahabat dahulu pun, ALLAH perintahkan supaya tahan pandangan mata mereka apabila berurusan dengan isteri-isteri nabi. Rujuk kembali Surah Al-Ahzab, ayat 53 :"…apabila kamu meminta sesuatu daripada isteri nabi, mintalah dari belakang tabir. Itu lebih suci bagimu dan hati mereka…". Tetapi kita bukanlah disuruh membawa tabir ke mana-mana kita pergi. Kalau susah sangat nak jaga mata, tutuplah pandangan dengan buku ke, fail ke..

Kita lihat betapa ALLAH sangat mengambil berat masalah hati para sahabat dan isteri-isteri nabi supaya mereka tidak tewas ke dalm kemungkaran. Kalau kita nak jadi sehebat mereka, kenalah aplikasikan apa yang mereka lakukan. Takkan nak tunggu ALLAH sebut nama kita dalam Quran baru nak buat. Contoh :"Wahai cik _____, tundukkanlah pandangan.." . Isk,isk..tak layaknya..

5. Cepatkan urusan. Perkara ini mungkin applicable kepada students/orang yang dah bekerja dan terpaksa berurusan dengan team lelaki. Dah tak dapat nak dielakkan, mereka sahaja teammate kita. So, apa-apa kerja yang dibuat bersama, buat sahajalah kerja tersebut. Tak payahlah nak berborak-borak, tanya hal peribadi, gelak-gelak, buat lawak..tak perlu,TAK PERLU! Siapkan kerja cepat-cepat, then go.

Discussion venue pula buatlah di tempat yang proper dan berurusanlah secara professional. Semoga bermanfaat dan semoga kita dikenali sebagai wanita mu’minah yang ada identiti, yang taat perintah ALLAH dan takutkan hari pembalasan. Semoga tidak melalaikan diri kita dan orang yang menerimanya. Jagalah diri, hiasi peribadi. Wassalam.



BERPESAN-PESANLAH PADA KEBENARAN

Monday, March 30, 2009

BAIT MUSLIM : ALTERNATIF @ KESEMPATAN?


Artikel ni sahabat email so mgkn ada yang bolah djadikan panduan...

:Perkongsian Daripada Sahabat DKIAS

Saya sangat-sangat tidak mengetahui sejak bilakah Unit ini ditubuhkan, siapa dan dimana. Yang pasti sudah terlalu lama.

Ketika berkongsi pengalaman dengan kami beberapa orang sahabat bersama Ust Ilias Ahmad yang sinonim dengan sapaan Pok Su Li sering menceritakan pengalaman beliau ketika memimpin PMRAM di Mesir.

Katanya “ Bait Muslim di Mesir yang digerakkan oleh PMRAM tujuannya sebagai pembantu kepada mereka yang sudah memerlukan sangat perkahwinan. Unit ini diketuai dan dipegang oleh mereka yang sudah berkahwin. Merekalah yang memberi kaunseling, nasihat, tunjuk ajar dan lain-lain keperluan untuk individu yang berhajat ini”.

“ Tetapi, agak pelik di Malaysia ini, kampus-kampus yang ada Bait Muslim sudah agak ‘jauh’ cara pelaksanaanya tidak sebagaimana yang digerakkan oleh PMRAM.” Kami tidak faham apa maksudnya. Beliau lantas menerangkan “ kalau disana, kita membantu menyelesaikan mana-mana individu yang sudah memerlukan sangat…tapi disini sudah jadi ruang untuk mencari pasangan sesama ahli jama’ah. Muncul istilah ‘cop’ lebih awal…” akhirnya semua ahli jama’ah masing-masing sudah ada pasangan masing-masing”. Begitulah lebih kurang komentar Ust dihadapan kami yang membuatkan kami berfikir.

Ini jauh dari matlamat asal Bait Muslim yang bertujuan membantu menyelesaikan masalah, bukan menjadi wasilah untuk mencari pasang-pasangan kepada ahli. Padahal saat itu, ahli bukanlah berkeperluan yang mendesak lagi.

Bait Muslim : Kelurusan Pelaksanaan.

Di Mesir, ianya adalah unit terbuka yang dikawal selia oleh PMRAM dan boleh dimanfaatkan oleh seluruh mahasiswa disana dengan beberapa peringkat seperti pengisian borang, makluman kepada Pengerusi Bait Muslim, diadakan pertemuan antara 2 individu tersebut dirumah ustaz-ustaz penasihat unit ini, dibincangkan, dan ditanya kepada kedua-dua pihak, tempoh sehinggalah tarikh perkahwinan serta nasihat-nasihat dan syarat-syarat agar hubungan tersebut dapat dipelihara dalam tempoh sebelum perkahwinan.

Itulah sedikit sebanyak yang saya ketahui dari teman-teman disana. Syukran ya teman-temanku. .

Adapun pelaksanaanya di kampus-kampus di Malaysia mungkin hanya sebatas kepada anggota persatuan mahasiswa Islam atau gerakan dakwah kampus sahaja kerana gerakan dakwah tidak menguasai kampus sepenuhnya. Saya optimis bahawa kaedah pelaksanaannya hampir sama sahaja. Jika ada perbedaan pun, mungkin sedikit sahaja khas berkait perkara yang menjadi khilaf sahaja.

Pandangan sahaja:
1)Jika seorang lelaki mahukan kepada seorang wanita, sebaiknya gunakanlah mana-mana muslimat lain yang terpercaya ( mungkin daripada Unit ini) untuk memaklumkan hajat anda kepada wanita tersebut. Elakkan terus berhubung dengan wanita itu kerana dipertengahannya penuh mudarat yang tidak dijangka. Ini juga kerana wanita lebih mengetahui mengenai teman
wanitanya. Maka biarkanlah mereka yang amanah ini menjadi wakil anda.

Peringatan! jangan terlalu cepat dan mudah untuk meluahkan isi hati kepada mana-mana lelaki atau wanita jika anda masih mempunyai keraguan atas kesedian anda untuk berbicara soal perkahwinan, jika tidak perhubungan anda hanya akan menjadi alat bermesra-mesraan dalam tempoh yang panjang yang tidak diketahui kesudahannya.

2)Maklumkan segera kepada penasihat, ustaz/ustazah, atau mas’ul kepada unit ini tentang hasrat anda dan keputusan kedua-dua pihak. Jangan anda melaju berlayar dalam perhubungan sementara ini tanpa dimaklumkan kepada mereka yang bertanggungjawab.

3)Jika masing-masing telah mempersetujui, maka solusi terbaiknya, putuskan perhubungan sehinggalah sampai hampir kepada tarikh yang ditetapkan.

Peringatan:
Maaf, saya tidak bersetuju jika ada yang membuka ruang kebenaran saling menyampaikan tazkirah, nasihat menasihati dan saling memberi semangat dan motivasi. Tiada perhatian khusus yang dihalalkan kepada anda melainkan dengan jalan pernikahan.

Saudara, istilah ‘taqdim’ bukan bererti anda yang mengconfirmkan dengan penuh confidence bahawa perhubungan anda itu benar-benar akan sampai kepada majlis perkahwinan.
Letakkanlah segala-galanya kepada Allah dan berdoalah agar jika dia yang terbaik untuk anda, maka kekalkan dia untuk anda, jika tidak, serahkan kepada Allah. Permohonan kepada Allah mesti diteruskan.

4)Elakkan dalam tempoh yang terlalu lama dalam ikatan sementara ini. Nafsu sebenarnya memberontak dan menjerit-jerit agar anda berhubung juga dalam tempoh ini (rujuk artikel sebelum ini).

Catatan:
Tempoh lama atau tidak tergantung kepada anda sebenarnya. Sejauhmana kita mampu bertahan dengan nafsu dan mudarat-mudarat ditengah ikatan sementara ini.

5)Jadikan ikatan sementara ini hanya sebagai simpanan rahsia anda dan individu-individu tertentu seperti mas’ul sahaja. Jangan jadikan ianya kebanggaan untuk dicerita-ceritakan kepada orang lain. Mungkin, Allah mentaqdirkan terputus ditengah-tengah ini, maka sakit bagi anda untuk menerimanya kerana sudah diwar-warkan berlebih-lebihan.

6)Jangan jadikan wanita atau lelaki pilihan anda ini sebagai bahan gurauan bersama teman-teman. Peliharalah maruahnya. Berhubunglah dengan mengharapkan redho Allah. Bukan percintaan monyet muda-mudi yang tidak menghayati agama. Seriuslah ! Matanglah ! Anda sedang membina kedewasaan.

7)Berdoalah agar anda dijauhkan dari maksiat, kekejian dan perhubungan haram dalam tempoh ini. Permulaan dengan mengenepikan redho Allah akan berakhir dengan penghinaan Allah. Pastikan dan usahakan mencari kebersihan dalam perhubungan ini.

8)Sibukkan diri anda dengan tugasan dakwah, pengajian seperti biasa dalam tempoh ini. Kelapangan waktu membuatkan anda masih sempat berkhayal tentangnya. Berhati-hatilah. Jangan sampai ibadah kerananya, pengajian kerananya.

9)Dalam membuat keputusan, banyakkanlah beristikharah dan memohon petunjuk dari Allah. Allah lebih mengetahui siapa yang terbaik untuk kita. Jangan ‘mendesak’ Allah menerima kehendak kita, bimbang Dia memberi dengan campakan, maka kita akan menggigit jari kelak.
Baiklah, teman-teman seperjuanganku sekalian. Sudah menjelang pagi saya menulis artikel ini. Ini hanya pandangan peribadi sahaja, Kalian berhak memberikan pandangan, kritikan dan komentar lain yang dirasakan baik. Maafkan kekurangan dan kesilapan saya. Saya juga seperti kalian dalam isu diatas. Mudah-mudahan Allah memelihara kita ��" salam perjuangan.

NIZAR YANG "AKU" KENALI !



Apabila seseorang yang dihormati kerana kebaikannya, maka orang itu akan terus diingati. Inilah yang berlaku di Kelantan Darul Naim. Kebaikan yang dimiliki oleh sosok kecil Tok Guru, menundukkan ramai orang.

Mereka hormat kerana sayang bukannya takut. Tok Guru tidak pernah menjatuhkan aib sesiapa. Maka, itulah sedikit bayangannya muncul di Perak, lewat perlantikan tanpa duga Ir Nizar sebagai Menteri Besar.

Lama dahulu…jangan kata orang Kelantan, kami di Perak pun tidak mengenali sangat sosok tinggi gagah Ir Nizar. Bahkan, mungkin jika terlanggar bahu di pasar, kami mengingatkan dia seorang cina.

Matanya yang sepet dan iras wajahnya memang seorang cina, kerana ibunya memang seorang cina. Rupa-rupanya, Allah SWT menyimpan Ir Nizar untuk menjadi MB kami. Sungguh tak disangka.

Apabila Ir Nizar menjadi MB, baharulah rakyat sedar siapa beliau.

Bukan sekadar jaminan kelayakan akademik yang begitu tinggi…tetapi juga pakej lain yang ada pada diri Ir Nizar. Saya sendiri tidak menyangka, dengan imej seorang aktivis PAS berjanggut sejemput itu, dia rupa-rupanya adalah manusia yang hebat seakan bayang Tuan Guru yang muncul di Perak.

Barulah kami tahu, Ir Nizar bukan sekadar seorang jurutera lulusan luar negara; tapi juga seorang 'ustaz' yang sering mengajar di masjid dan surau. Nizar juga bukan sekadar petah berpidato di pentas politik, malah petah bicaranya di mimbar masjid. Nizar yang ada bukan sekadar fasih berbahasa Melayu; tetapi juga Inggeris, Cina, Tamil dan Arab!

Apabila Ir Nizar memberikan ucapan sulungnya di hadapan ribuan rakyat Perak berketurunan cina, ramai yang terkedu apabila beliau berkomunikasi dengan lidah cina. Bukan satu dialek, tetapi tiga. Jarang orang Melayu-Islam-PAS yang mampu bertutur dalam dialek Kantonis, Hokkien dan Mandarin. Tapi Ir Nizar boleh!

Apabila Nizar bertamukan orang India, maka lancar sahaja lidahnya berbahasa tamil. Sekali lagi kami terkedu. Apakah Ir Nizar ini anak 'buluh betung' yang mampu berbicara dengan sesiapa sahaja?

Apabila menceritakan komunikasinya dengan Pak Arab dari Timur Tengah, Ir Nizar menceritakan bahawa dia berbicara dengan bahasa yang sama dengan mereka. Lalu ia memudahkan 'cerita' dan Pak Arab setuju datang melabur ke Perak. La…rupa-rupanya Ir Nizar kami fasih juga berbahasa Arab!

Bahasa Inggeris…Bahasa Melayu…jangan cakaplah. Jika sudah bertahun di luar negara mengaji ilmu kejuruteraan, takkan tak reti bahasa Inggeris. Jika sudah keturunan Melayu, takkan jelek berbahasa Melayu!

Kemudian, kami di Perak tambah teruja apabila MB kami ini rupanya sangat sayangkan Bahasa Melayu. Siapa pun tidak menyangka, rupa-rupanya dek kerana sayangkan bahasa ibundanya sendiri, maka Ir Nizar lama sebelum menjawat jawatan MB telah membawa anaknya menyaman Kerajaan Malaysia . Samannya berasas, kerana Kerajaan Malaysia telah melanggar hak Bahasa Melayu seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan Perkara 152. Sungguh bangga kami mempunyai MB seperti Ir Nizar…sayangnya bukan setakat di mulut tapi di kota apa yang dikata.

Apabila bergelar MB pun, Ir Nizar tetap mengekalkan watak seorang lelaki biasa. Tidak pula kelihatan dia memasang 'body guard' keliling pinggang. Bahkan, apabila Nizar menjadi MB lah, maka kediaman Menteri Besar di Ipoh makin terbuka untuk rakyat. Merasalah kami memijak aspal dan rumput di dalam kawasan kediaman MB. Jadilah…

Ir Nizar tidak malu pun untuk menikmati nasi bungkus di pejabatnya. Samalah dengan Tuan Guru mentornya di Kelantan. Nasi bungkus sudah jadi santapan biasa. Bukan haram pun…bahkan itulah yang rakyat suka.

Apabila diteropong kepada isterinya pula, lega hati…tak adalah pula Datin Seri Fatimah sudah naik 'tocang' dengan ternobatnya suami menjadi MB.. Masih lagi bertudung litup, masih sopan berkerudung dan berkurung. Masih sopan melayan tetamu dan pengunjung. Tidaklah berubah menjadi 'kaduk naik junjung.'

Anak-anak Ir Nizar lagilah…sungguh kami tak sangka, MB kami ini berwawasan akhirat melampaui dunia yang singkat.. Anak-anaknya dihantar ke Timur Tengah, belajar syariah dan menjadi hafiz Quran. Samalah juga seperti Tuan Guru Nik Aziz, anak-anaknya alim dan warak…samalah seperti ayahandanya.

Itulah…sejuk hati kami rakyat Perak ber-MB-kan Ir Nizar. Tapi…selalunya orang yang baik memang ada yang berdengki. Maka, dilemparkanlah fitnah dan tohmah. Disebarkanlah berita palsu dan dakyah. Semuanya agar imej MB Ir Nizar yang baik bertukar comot dan kelam.

Semuanya ditangani dengan baik oleh Ir Nizar. Namun, kami rakyat Perak sedar…tidaklah semuanya sempurna 100 peratus. Adalah sedikit-sedikit kesalahan yang beliau terbuat atau terlepas pandang. Namun, semuanya masih boleh dimaafkan. Bukanlah besar sangat pun.

Malangnya, kesalahan kecil itulah diperbesarkan. Isu pemberian tanah kepada orang cina menjadi bahan utama. Kasihan MB Nizar. Takkanlah memberi tanah kepada rakyat Perak itu salah. Lainlah memberikan tanah kepada orang Singapura…macam terlepasnya Pulau Batu Puteh…tapi, penjelasan dan penafiannya tidak didengari. Mereka asyik mengecam dan mencaci. Kasihan MB kami.

Kini, puaslah agaknya hati para pendengki itu. Mereka sudah berjaya menafikan hak MB kami. Ir Nizar dipaksa turun dari jawatannya. Mereka peralatkan sultan. Mereka peralatkan media. Mereka jaja nama tuanku. Kononnya Ir Nizar sudah derhaka. Lalu, mereka angkat sumpah menjadi MB baru…walaupun MB Nizar masih MB yang sah.

Inilah cerita MB kami, Datuk Seri Hj Ir Muhammad Nizar Jamaludin. Anak Kampar Perak yang membesar di sekolah cina, belajar hingga ke England dan akhirnya mampu berkhutbah di mimbar masjid dan berceramah agama di mana-mana. Sayang…seorang teknorat agama seperti ini difitnah oleh orang seagama, yang kemaruk kuasa.

Tapi kami yakin…tak lama lagi, beliau akan jadi MB semula. Kami yakin…kami percaya, kerana kami pegang janji Allah…siapa yang tolong Allah maka Allah akan menolong mereka dan meneguhkan tapak kaki mereka. Amin…!